Tuesday, March 4, 2008

Lawatan Sambil Belajar






LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE REMBAU PADA 26 DAN 27 NOVEMBER 2007.




Pada 26 dan 27 November tahun 2007 saya telah mengikuti satu program yang telah dianjurkan oleh Kelab Bahasa Arab Fakulti Bahasa Moden Universiti Putra Malaysia iaitu program Lawatan Sambil Belajar, yang berorientasikan lawatan sambil belajar dan memberi penekanan program pemantapan Bahasa Arab dan peningkatan jatidiri serta akhlak pelajar. Program tersebut telah diadakan selama 2 hari 1 malam. Terdapat seramai 30 orang pelajar yang telah menyertai program tersebut.
Terdapat banyak aktiviti yang dijalankan disana. Salah satu daripadanya ialah mendaki Gunung Datuk yang terletak di Hutan Rembau Negeri Sembilan. Pada 27 Novenber tahun 2007 adalah detik bersejarah bagi saya. Saya dan seramai 25 pelajar yang lain telah mengikuti aktiviti mendaki Gunung Datuk setinggi 900m. Pagi tersebut kami masing-masing sibuk membuat persiapan untuk mendaki Gunung Datuk. Pendakian bermula tepat jam 9 pagi. Sepanjang pendakian saya dan sahabat-sahabat yang lain terpaksa mengharungi pelbagai pengalaman yang amat mencabar namun menarik kerana suasana alam sekitar disitu dijaga rapi. Perjalanannya Sudah tentu sahaja mencabar, ini kerana perjalanan yang kami lalui adalah jarang digunakan. Oleh itu kebanyakan jalannya ditutupi oleh belukar dan halangan buluh-buluh yang tumbang.
Selain itu juga, telah dianjurkan dua program motivasi yang memberi penekanan terhadap pemantapan Bahasa Arab dan peningkatan jati diri. Sepanjang program tersebut kami sesekali tidak merasa bosan malah seronok dengan aktiviti ilmiah dan keagamaan yang dilaksanakan. Kami telah dibimbing secara praktikal dan bukan hanya sekadar mendengar. Kami juga telah dilatih oleh urusetia dan fasilitator yang amat akrab dan sangat disenangi di samping tegas dalam mendidik. Dalam motivasi tersebut kami juga telah diasah tentang kemahiran dan strategi belajar disamping melazim minda agar selesa untuk menerima perubahan diri yang baru serta menjana minda agar bermatlamat dan berfikiran terbuka. Pendekatan yang digunakan adalah untuk menggerakkan potensi pelajar dari segi:-
Akal - ke tahap hikmah kebijaksanaan.
Naluri - mengurus naluri ke arah kebaikan.
Anggota - menyerlahkan potensi diri pelajar dari segi akhlak, disiplin serta
bersakhsiah mulia.
Objektif bagi program pendakian Gunung Datuk adalah untuk menguatkan stamina, mengurangkan tekanan dengan melihat keindahan alam semulajadi disamping menenangkn fikiran. Dalam pendakian tersebut telah diterapkan semangat kerjasama antara satu sama lain. Selain itu ia juga memberi kesihatan pada tubuh badan dengan mengeluarkan peluh dan secara tidak langsung memberi keseimbangan antara mental dan fizikal. Malahan dengan melihat keindahan alam lagi mempesonakan maka telah timbul dalam diri rasa syukur terhadap Pencipta alam. Keadaan ini secara tidak langsung dapat mewujudkn masyarakat yang cintakan alam sekitar.

Manakala objektif bagi program motivasi pula adalah untuk membentuk sakhsiah dan jatidiri yang matang dan berketrampilan dengan membina kekuatan mental dan fizikal termasuk keyakinan diri. Malahan juga telah ditetapkan pemikiran ke arah penerapan dan penghayatan nilai- nilai positif serta penerapan nilai-nilai murni, sakhsiah Islamiah dan adab mulia. Disamping itu, motivasi tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada para peserta tentang nilai kualiti diri dan motivasi diri sejajar dengan keperluan semasa dan melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dari sudut akademik tetapi merangkumi kecemerlangan dalam akhlak, budi bahasa, disiplin dan berdedikasi serta memupuk komitmen dan rasa kebertanggungjawaban serta keyakinan diri pelajar.
Proggram Lawatan sambil belajar ini telah memberi impak yang mendalam dalam diri saya dan sahabat-sahabat yang lain bagi memunasabahkan diri dalam menjalani kehidupan. Sepanjang program ini dijalankan, potensi diri setiap pelajar telah dibangunkan dan dalam masa yang sama masalah dalam diri pelajar akan dikenalpasti melalui modul-modul program yang telah terbukti keberkesanannya.
Kesimpulannnya, program ini telah berjaya dilaksanakan selama 2 hari 1 malam di Rembau, Negeri Sembilan. Terdapat pelbagai aktiviti-aktiviti menarik yang dijalankan. Antaranya, mendaki Gunung Datuk, motivasi, solat berjemaah, gotong-royong dan sebagainya. Program-program yang dilaksanakan adalah untuk memberi penekanan mengenai jati diri, semangat kekitaan, akhlak mulia dan berpotensi dalam pelajaran bagi melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

No comments: