Wednesday, March 5, 2008

Dasar Kebudayaan Kebangsaan


Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Sesebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia tentu tidak akan dapat lari daripada menghadapi pelbagai masalah sosial dan perpaduan. Oleh sebab perpaduan amat penting dalam memupuk semangat nasionalisme dan kenegaraan, sudah tentulah negara-negara yang menghadapi masalah ini akan cuba mencari jalan untuk menyelesaikan sebarang keretakan dan konflik perkauman di negara masing-masing. Di Malaysia, masalah yang kerap diperkatakan berhubung dengan perpaduan ialah masalah polarisasi.

Latar belakang Dasar Kebudayaan Kebangsaan
Pembentukan satu kebudayaan kebangsaan dapat memupuk perpaduan menerusi satu gaya hidup dan nilai-nilai yang dipersetujui dan dihayati bersama oleh semua kaum. Ia juga dapat mewujudkan satu identiti negara yang dapat dikenali oleh negara-negara luar. Oleh yang demikian, Kerajaan Malaysia telah menitikberatkan pembentukan secara beransur-ansur yang baik daripada berbagai-bagai kebudayaan yang terdapat di negara kita dengan berteraskan kebudayaan asli tempatan.
Prinsip Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Terdapat tiga prinsip :
1. Kebudayaan kebangsaan negara ini hendaklah berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini.
·
Menurut prinsip ini, kebudayaan kebangsaan Malaysia hendaklah berteraskan kebudayaan rakyat setempat rantau ini.
· “Rantau” membawa maksud alam Melayu, yakni warisan tradisi kebudayaan Kepulauan Melayu yang sebahagian besar suku bangsanya terdiri daripada orang Melayu, Bugis, Jawa, Iban, Minang, Murut, Kadazan dan lain-lain lagi.
· Merekalah yang dimaksudkan sebagai rakyat asal rantau ini.
2. Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur-unsur kebudayaan kebangsaan.
·
Prinsip ini memberi pengakuan bahawa unsur-unsur kebudayaan kaum lain yang sesuai dan wajar memanglah telah lama diamalkan.
· Masyarakat pribumi telah banyak menerima unsur-unsur ini sejak zaman-berzaman.
· Kemasukan unsur-unsur ini ke dalam kebudayaan tempatan kaum pribumi terjadi melalui pelbagai proses seperti asimilasi, difusi, evolusi dan akulturasi.
· Sebagai contoh, proses asimilasi wujud hasil daripada kekerapan perhubungan dan pertembungan di antara kebudayaan dan bahasa dari negera China, India dan Eropah. Begitu juga terdapat pengaruh bahasa Sanskrit, Portugis, China, Inggeris dan lain-lain dalam bahasa Melayu.
3. Islam merupakan unsur yang penting di dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan itu.
Kesimpulan
Kebudayaan kebangsaan adalah budaya yang sama bagi masyarakat seperti undang-undang, kesenian, falsafah, nilai sosiobudaya dan sebagainya. Kebudayaan sukuan atau kaum pula adalah apa yang dijamin oleh Perlembagaan dan Rukunegara sebagai yang boleh diamalkan oleh pelbagai suku atau kaum ini boleh diserapkan ke dalam kebudayaan kebangsaan sekiranya ia tidak bertentangan dengan tiga tujuan dasar kebudayaan kebangsaan.

No comments: